Wednesday, July 9, 2014

Kolagen, Plasenta dan Vitamin, Rahsia Kulit Cantik

Perbezaan antara rawatan kolagen, plasenta dan vitamin


Kolagen
Kolagen ialah sejenis protein yang banyak terdapat di dalam tubuh manusia dan memainkan peranan yang penting. Kolagen  membantu membentuk tisu dalam badan selain memberi sokongan pada tubuh. Kolagen terdapat pada otot, tulang, kulit, tendon dan  tulang rawan. Apabila umur meningkat, kolagen di dalam badan menurun dan menyebabkan kulit kendur dan tulang rapuh.

Jenis-jenis kolagen:
Ada bermacam-macam jenis kolagen suplemen. Oral kolagen suplemen dalam bentuk pil atau minuman menjanjikan pengurangan penyakit seperti arthritis, membantu penurunan berat badan, membina otot dan rejuvenasi kulit. Krim kolagen pula dikatakan dapat membantu menegangkan kulit tapi pada hakikatnya kolagen molekul terlalu besar untuk diserap. Suntikan kolagen untuk mengembalikan ketegangan kulit dan menghilangkan kedut pada kulit. Suntikan kolagen juga boleh digunakan untuk menghasilkan bibir yang lebih tebal. Rawatan kolagen dari segi medikal ialah oral glucosamine dan suntikan pada sendi.

Plasenta
Plasenta merupakan uri. Kebanyakan rawatan plasenta diambil dari kambing biri-biri yang dipelihara khas untuk urinya. Ada juga yang diambil dari uri manusia. Sel-sel diambil daripada uri dan dijadikan pil atau dalam bentuk suntikan. Tujuannya ialah untuk memperbaharui sel-sel tua di dalam badan. Namun demikian sijil halal tidak diperolehi. Ada juga plasenta yang  diambil dari pokok soya yang baru bercambah dikenali sebagai vegeplasenta.

Vitamin
Vitamin A, B, C, D, E dan K mempunyai fungsi yang berbeza dan hanya diperlukan dalam kuantiti yang sedikit kecuali ketika hamil, menyusukan anak atau pertumbuhan bayi dan kanak-kanak. Pengambilan vitamin C akan membantu badan menghasilkan lebih banyak  kolagen dan mampu menghasilkan kulit yang
tegang. Vitamin C juga dapat mencerahkan kulit dengan ciri-ciri antioksidannya selain dapat menguatkan sistem imunisasi badan. Beza rawatan kolagen secara oral dan suntikan Kolagen sentiasa dibina di dalam badan dan  enzim kolagenase sentiasa mengekalkan tahap kolagen di dalam badan. Rawatan kolagen oral atau glucosamine biasanya diberi kepada pesakit yang mengalami osteoartritis di mana pelincir di dalam sendi sudah berkurangan. Suntikan hyaluronik asid juga boleh disuntik ke dalam sendi tersebut. Bagi rawatan estetik pula, suntikan hyaluronik asid disuntik di bawah kulit untuk mengurangkan kedutan pada kulit dan mengembalikan ketegangan kulit. Hyaluronik asid disuntik dalam bentuk fillers untuk meratakan parut, mengubah hidung yang senget atau pipi yang jatuh akibat proses penuaan. Rawatan ini perlu diulang kerana hyaluronik asid ini akan dibinasakan oleh enzim di dalam badan kita. Suntikan kolagen juga boleh dilakukan untuk mengubah paras rupa seperti pipi yang jatuh, bibir kecil atau hidung yang senget. Suntikan kolagen kini kurang popular keranaboleh menyebabkan alahan.


Beza rawatan plasenta secara oral dan suntikan


Rawatan plasenta sekiranya disuntik, ia lebih efektif dan cepat berbanding oral. Harga suntikan plasenta juga jauh lebih mahal berbanding oral. Di Malaysia, suntikan plasenta tidak mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Rawatan oral dan suntikan juga tiada sijil halal daripada Jakim.

Beza rawatan vitamin secara oral dan suntikan

Vitamin boleh diambil secara oral tetapi penyerapannya berbeza-beza mengikut tahap pH di dalam perut dan usus. Sekiranya perlu, vitamin seperti B12 boleh disuntik pada otot. Suntikan Vitamin C tidak  diluluskan di negara kita. Namun demikian ia merupakan rawatan untuk pesakit yang demam panas atau kanser di sesetengah negara lain.

 Fahami tentang sesuatu rawatan kecantikan sebelum mencuba

Menurut Dr. Nurhalina, ketiga-tiga rawatan kecantikan ini memang amat berbeza fungsi dan kesesuaiannya dengan wanita. Ada rawatan yang hanya sesuai untuk kelompok umur tertentu. Maka sebab itulah amat penting untuk seorang wanita mendapatkan info tentang sesuatu rawatan terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Ini bagi memastikan ia memberikan manfaat kepada mereka. “Sebagai contoh, rawatan yang kini menjadi kegilaan kaum wanita iaitu rawatan menggunakan ibu kolagen. Sebenarnya ia merupakan kolagen dari rumpai laut. Walau pun ia hangat diperkatakan namun tiada kajian medikal yang dilakukan tentang keberkesanan bahan ini untuk rawatan kulit. Rawatan oral kolagen biasanya berasaskan protein dari haiwan. Sekiranya seseorang itu ada alergi, ia boleh mengakibatkan rangsangan negatif serta alahan. Setiap rawatan sekiranya berlebihan akan memberi kesan sampingan jangka pendek atau panjang. Ikutlah peraturan untuk pengambilan sesuatu suplemen. Jika tiada kesan sampingan pun, ia adalah satu  pembaziran sekiranya badan tidak memerlukan. Sekiranya anda ingin mencuba oral kolagen, ketahuilah bahawa industri suplemen ini tidak dipantau. Oleh sebab itu kandungan kolagen dan keberkesanan sesuatu produk sukar diketahui. Sekiranya anda ingin mendapatkan suntikan kolagen, perlu anda ketahui bahawa risikonya mungkin sama seperti risiko suntikan lain seperti botox dan filler. Apa yang penting ialah pemakanan yang seimbang dari segi karbohidrat, protein, lemak, serat dan vitamin. Kolagen membekalkan protein pada kulit. Sarang burung dan Caviar juga adalah sumber kolagen yang berfungsi sebagai anti penuaan. Dari sudut perubatan, rawatan kolagen sebenarnya adalah dalam bentuk  suntikan tetapi bukan melalui salur darah tetapi dimasukkan di bawah lapisan kulit (filler),” terang Dr. Nurhalina lagi.


Rawatan plasenta memerlukan kos yang tinggi

“Rawatan menggunakan plasenta atau uri agak mahal harganya dan individu sama ada lelaki mahu pun wanita sesuai menggunakannya. Namun ia lebih kepada rawatan anti penuaan. Antara golongan yang sesuai mengambil rawatan jenis ini ialah wanita yang sudah menopaus dan perlu mengikut dos yang tertentu. Semakin tinggi dos yang digunakan  semakin mahal kos rawatan yang perlu dibiayai  oleh pengguna.Kebanyakan plasenta diambil dari biri-biri baka yang baik. Selalunya  kambing biri-biri ini adalah dari New Zealand dan Switzerland. Plasenta kambing biri-biri menjadi pilihan kerana dikatakan haiwan ini tidak menyebarkan penyakit seperti lembu (mad cow disease) selain lebih kurang sama dengan plasenta manusia. Plasenta perlu diambil dengan teknik yang betul dan disimpan dalam suhu yang sesuai. Walau bagaimana pun ada juga plasenta yang diambil dari rusa namun ia kurang popular. Selain memperbaharui sel-sel yang telah tua di dalam badan, kebanyakan individu yang mengambil plasenta akan berasa lebih bertenaga. Contohnya kucing yang baru melahirkan akan makan urinya sendiri supaya badannya bertenaga semula. Ada juga rawatan menggunakan plasenta manusia yang dianggap terbaik tetapi ia punya risiko perubatan yang tertentu. Sebenarnya walau pun ramai yang menyebutnya sebagai rawatan menggunakan plasenta tetapi sebenarnya ia lebih kepada Stem Cell atau sel setem. Hingga ke hari ini kesemua medium rawatan plasenta sama ada plasenta biri-biri, manusia dan rusa semuanya tidak mendapat status halal selain tidak mendapat kelulusan daripada pihak KKM,” ujar Dr. Nurhalina.



Jenis vitamin dan fungsinya kepada kecantikan.

Menyentuh tentang rawatan menggunakan vitamin pula yang suatu ketika dahulu amat popular di kalangan kaum wanita, menurut Dr. Nurhalina sebenarnya vitamin A, C dan E adalah bersifat antioksidan. Dos yang diperlukan adalah secara minimum kerana vitamin A ,C dan E baik untuk kulit. “Rawatan vitamin yang popular ialah vitamin C. Sama seperti kolagen, jika seseorang individu sama ada lelaki mahu pun wanita mengambilnya dalam dos yang mencukupi, mereka akan mendapati kulit mereka semakin tegang dan anjal. Vitamin C dan vitamin E biasanya diambil secara oral. Vitamin A pula banyak terdapat dalam produk perawatan kecantikan luaran. Apabila ia meresap ke dalam kulit wajah maka ia akan merangsang penghasilan kolagen dalam kulit namun jika berlebihan ia akan mengundang bahaya kepada wanita terutama yang sedang hamil. Oleh itu wanita hamil tidak digalakkan  mengambil produk perawatan kulit yang mengandungi vitamin A. Walau bagaimanapun vitamin C bukan sahaja boleh diambil secara oral tetapi boleh juga diambil secara suntikan namun tidak mendapat kelulusan dari pihak KKM. Perlu diingatkan bahawa rawatan menggunakan vitamin C yang diambil secara suntikan perlu diambil secara berterusan bagi mendapatkan hasil yang berpanjangan kerana vitamin C yang meresap ke dalam kulit lama kelamaan akan terurai dalam lapisan kulit. Vitamin B pula lebih kepada untuk menambah tenaga dan baik untuk saraf. Selalunya diambil secara oral dan suntikan. Pendek kata ke semua rawatan menggunakan vitamin punya fungsi dan kelebihan tertentu,” akhiri Dr. Nurhalina.

Rahsia cantik persis artis Korea

Wah, sebut sahaja artis Korea, semua membayangkan betapa halus, mulus, putihnya kulit mereka. Bagi anda yang merupakan peminat tegar drama-drama Korea pasti sudah lama mendambakan kulit wajah seperti pelakon serba boleh Song Ji Hyo, Ha Ji Won, Suzy dan ramai lagi. Mungkin ada yang bertanggapan mereka memang dilahirkan dengan kulit begitu. Eh, itu salah! Mereka juga memiliki kulit normal seperti mana kita semua.  Akan tetapi cara penjagaan kulit yang diamalkan membantu mereka mendapatkan kulit sebegitu sihat dan cantik. Ingin tahu rahsianya?


Produk penjagaan kulit
Ha, kalau nak tahu, produk penjagaan kulit di sana memang sangat popular. Tidak hairanlah mereka mempunyai kulit halus mulus dan cantik. Tetapi jika tidak menggunakannya dengan teratur juga tiada memberi sebarang kesan. Apa yang menariknya ialah, bukan sahaja wanita, malah lelaki turut mengambil berat soal kesihatan dan kecantikkan kulit. Penggunaan produk kecantikan kulit dijadikan sebagai disiplin harian.
Penggunaan BB Cream ketika keluar dari rumah adalah satu kemestian. Hal ini kerana ia mampu melindungi wajah anda ketika terdedah kepada cuaca luar yang tidak menentu. Selain itu, rajin-rajinkanlah untuk memakai masker pada wajah ketika berada di rumah. Pelbagai jenis  masker sesuai mengikut keadaan kulit anda kini banyak terdapat di pasaran juga di kedai-kedai menjual produk khas dari Korea seperti Etude House, The Face Shop dan banyak lagi. Ramai kaum wanita mahupun lelaki Korea mengamalkan pemakaian masker pada setiap hari!

Air yang banyak
Bukan artis Korea sahaja, malah, ramai yang sudah tahu mengenai kepentingan air di dalam tubuh badan manusia. Air secukupnya mampu membuatkan anda lebih sihat dan mendapat kulit lebih cantik. Tanpa air yang cukup, kulit akan menjadi kering dan ia tidak baik untuk kesan jangka masa panjang. Hal ini kerana kulit anda akan menjadi mudah berkedut dan anda akan kelihatan lebih tua daripada usia sebenar. Wow, menakutkan! Jadi si cantik semua, jangan sesekali tinggalkan air anda. Minumlah setidak-tidaknya dua liter air setiap hari. Lebih banyak, lebih baik.

Mata menawan
Umum mengetahui tentang mata warga Korea yang sepet dan kecil. Satu cara untuk mengatasi kelemahan itu adalah menggunakan eyeliner sebagai senjata utama. Cuba anda perhatikan mata penyanyi terkenal di Korea, Lee Hyori. Penggunaan eyeliner yang betul mampu membuatkan matanya tampak lebih menawan dan bersinar. Wanita Korea juga jarang memakai eyeshadow dengan warna yang pelbagai. Mereka lebih suka menggunakan satu warna sahaja pada satu-satu masa dan kebanyakkan warna yang digunakan adalah warna pastel. Hal ini bertujuan agar eyeliner yang dipakai akan tampak lebih menonjol.

Perawatan wajah
Wanita Korea bukan sahaja menjaga wajah menggunakan produk kecantikan semata-mata. Mereka juga mengamakan pelbagai makanan kesihatan berasaskan herba, sayur-sayuran juga buah-buahan. Makanan harian mereka juga jarang digoreng sebaliknya direbus, dan distim agar kandungan nutrisi pada makanan tidak hilang.
Bukan itu sahaja, mereka juga akan berjumpa terus dengan doktor pakar kulit jika terdapat masalah berkaitan kulit yang timbul. Malah, ada juga yang sudah mengatur perjumpaan dengan doktor kulit pada setiap bulan demi memastikan kulit mereka sentiasa berada di dalam keadaan yang sihat dan terbaik.

Isu kecantikkan kulit di Korea dianggap penting seolah-olah melambangkan keperibadian seseorang itu. Perkara ini sebenarnya boleh dijadikan ikutan buat kita kerana dengan kulit wajah yang cantik, secara tidak langsung mampu membuatkan kita berasa lebih yakin dalam menempuh hari-hari mendatang.

Kerja Rumah Lebih Cepat Bakar Kalori?

Memiliki tubuh badan yang diidamkan sememangnya mengambil masa yang lama. Malah, belum tentu anda mempunyai masa yang betul-betul tersusun untuk mengikut jadual di pusat gim melainkan anda mengetahui rahsia menurunkan kalori paling cepat hanya ketika berada di rumah.

Membasuh kereta
Ketahuilah bahawa lelaki yang membasuh kereta tampil lebih menarik berbanding wanita lebih-lebih lagi jika anda tidak mengenakan pakaian sambil melakukan beberapa senaman. Membasuh kereta selama setengah jam membantu membakar 143 kalori. Anda boleh membakar lebih kalori jika anda melakukan beberapa beberapa 'adegan' seperti melunjurkan kaki saat membasuh tayar, melakukan lompatan mahupun mengelilingi kereta anda!

Berkebun
Melakukan aktiviti berkebun mampu membakar sebanyak 265 kalori setiap jam. Melakukan senaman squad ketika bercucuk tanam boleh menghasilkan otot dan jika diteruskan, pembakaran kalori boleh meningkat kepada 306 setiap kali anda berkebun.

Membasuh pakaian
Sama ada menggunakan mesin basuh atau basuhan tangan, percaya atau tidak bahawa anda mampu membakar kalori sebanyak 144. Melakukan senaman squad apabila anda sedang mengutip pakaian diikuti dengan mencangkung dan bangun semula selama 30 saat, diulangi sehingga selesai membasuh pakaian boleh meningkatkan pembakaran kalori kepada 178.

Mengemop
Ambil alih tugas mop lantai dari isteri atau ibu anda kerana hanya mengemop lantai mampu membantu membakar kalori sebanyak 112 setiap setengah jam. Membersihkan permaidani, mengemop lantai tiga kali seminggu membantu bahu dan tangan anda bersenam dengan cara mudah. Selepas ini, aktiviti mop lantai mungkin menjadi satu aktiviti wajib buat setiap minggu.

Memasak
Anda mungkin terkejut apabila anda mampu membakar kalori sebanyak 150 hanya kerana berada di dapur. Meskipun tidak banyak kalori dibakar tetapi ia lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Berdiri, berulang-alik ke pantri mengambil barang dan memotong daging juga boleh menyebabkan anda berpeluh!

Hujung minggu anda mungkin lebih bermanfaat jika anda mula mengetahui bahawa melakukan kerja rumah boleh membantu bakar kalori anda? Jika dikumpul kesemua jumlah kalori yang dibakar, anda sudah boleh memiliki tubuh berotot tanpa anda sedar.

Tiru Rahsia Tubuh Seksi Jennifer Aniston

Mesti ramai yang cemburu apabila melihat selebriti yang sudah memasuki usia 45 tahun ini masih kelihatan seperti anak dara. Tentu saja pelakon ini mempunyai rahsia tertentu untuk mengekalkan tubuh badan sentiasa ramping dan awet muda ini.

Workout Berterusan
Sesibuk mana pun, anda perlu melakukan senaman walau sekadar 15 minit. Senaman secara berterusan akan membantu tubuh sentiasa segar dan bertenaga. Lama-kelamaan anda akan terbiasa dengan senaman setiap hari.

"Biarpun saya menetap di hotel, saya tetap boleh bersenam. Sama ada saya sedang menonton televisyen atau berbual di telefon, saya akan melakukan regangan otot dan melakukan sit up."

Pilih Organik
Berdiet tidak semesti anda perlu mengawal pemakanan. Anda bebas makan dengan banyak asalkan makanan yang diambil tidak mengandungi lemak dan karbohidrat yang tinggi.

Bagi Jennifer, dia lebih memilih buah-buahan dan sayur-sayuran organik, mengurangkan gula dan minum banyak air kosong untuk mengekalkan berat badan ideal.

Yoga
Ambil masa selama 5 hingga 15 minit untuk beryoga bukan saja memberi ketenangan tetapi melonggarkan otot yang tegang. Menurut Jennifer, usah segan mengikuti kelas yoga untuk melatih anda yang baru pertama kali beryoga kerana yoga memerlukan teknik tertentu.

"Ohh... Saya benci sukan lasak seperti boot camp! Saya hanya mahu kekalkan bentuk badan dan sihat. Saya tidak perlu jurulatih yang menjerit ke arah saya."

Tidak dapat berlakon dan bertemu bintang Hollywood ini secara dekat pun tidak mengapa asalkan anda dapat mencapai perut kempis, lengan, peha, pinggang yang ramping dan pejal

Makanan Sihat Yang Merosakkan Gigi?

Ramai di kalangan kita mempercayai makanan sihat memberi kebaikan 100% tanpa mengetahui ia juga ada mendatangkan keburukan sampingan seperti kerosakan gigi. Bagaimana makanan sihat ini boleh dikaitkan dengan kerosakan pada gigi? Bukankah makanan sihat sepatutnya tidak perlu dirisaukan? Baca entri RAPI kali ini.

Buah Kering
Memilih snek ringan yang terdiri daripada buah kering seperti aprikot, kismis, kurma dan sebagainya kedengaran menyihatkan tetapi buah kering ini mengandungi gula semula jadi yang boleh melekat pada gigi dan menjadi punca kerosakan gigi. Jika anda benar-benar mahu menikmati zat buah dan tanpa rosak gigi, lebih baik anda memilih buah segar untuk dijadikan sebahagian dari hidangan anda. Snek tanpa merosakkan gigi yang selamat dan boleh diambil adalah kekacang atau bijian.

Jus
Buah epal mungkin rahsia anda kekal sihat dan langsing sebagaimana kebanyakan orang yang memilih epal hijau sebagai menu yang sihat. Tahukah anda bahawa buah segar seperti epal hijau mengandungi tahap asid malah apa saja buah yang memiliki PH dibawah 5.5 boleh menyebabkan kerosakan gigi. Jus oren (pH 3.8), limau gedang (pH 3.3), jus nenas (pH 3.4), jus kranberi (ph 2.6) malah perahan lemon atau cuka yang biasanya anda masukkan ke dalam salad (kedua-duanya pH 2.0).

Sebaiknya, pilihlah makanan beralkali di mana ia terdiri daripada tahap pH yang tinggi dan mampu meneutralkan kesan asid dari gula. Jus terbaik untuk anda ambil adalah jus seleri, timun dan bayam.

Air Bergas Tanpa Kalori
Minum air yang banyak merupakan satu cara untuk kekal bertenaga dan hidrasi namun tidak ramai yang sedar bahawa mengambil minuman bergas boleh menyebabkan kerosakan enamel pada gigi. Air bergas mengandungi nilai pH sekitar 3 malah mengandungi kandungan gula yang tinggi.

Anda mungkin merasa lega apabila gigi boleh memperbaiki hakisan enamel melalui proses 'remineralisation' asalkan anda tidak terlalu terdedah kepada minuman bergas ini. Jika anda merasa teringin sekalipun, ada para doktor gigi menyarankan  anda minum minuman bergas menggunakan straw untuk mengurangkan kerosakan terlampau terdedah pada gigi.

Adalah penting untuk mengetahui perbezaan pelbagai jenis pemanis. Kebanyakan produk yang tertera perkataan 'tooth-friendly' biasanya menggunakan xylitol, aspartame, acesulfame-K dan sakarin. Meskipun kebanyakan makanan ringan atau minuman berkarbonat melabelkan produk bebas gula tetapi kandungan asid yang tinggi juga penyumbang kepada kerosakan gigi. Bukan tidak boleh langsung menikmati makanan ringan sihat ini tetapi biarlah berpada-pada. Hati-hati ya!

20 Tip Kurus Mudah & Berkesan

1. Mulakan hari anda dengan menu dan jumlah sarapan yang mencukupi. Ini akan membantu mengurangkan jumlah kalori sepanjang hari.

2. Pastikan setengah hidangan untuk makan tengahari dan makan malam mengandungi sayuran dan buahbuahan

3. Makanlah sedikit sebelum anda menghadiri majlis makan malam. Ambillah telur rebus, epal dan minumlah teh sebelum ke majlis tersebut. Ini akan mengurangkan nafsu makan di majlis itu

4. Tambahkan satu hidangan untuk buahbuahan dan sayuran pada menu anda. Jika anda sudah lakukan, anda boleh tambahkan hidangan ini sehingga lapan  hidangan sehari untuk sayuran dan buahbuahan.

5. Untuk setiap hidangan, jangan sesekali menggunakan pinggan yang besar. Gunalah piring salad setiap kali anda makan tengahari dan makan malam

6. Ambillah hidangan sup yang lebih banyak. Sup biasanya rendah kalori dan membuatkan anda cepat kenyang.

7. Bawalah bekal ke pejabat. Ini untuk  membantu mengelakkan anda makan tengahari secara berlebihan.

8. Cubalah untuk tidak mengambil gula selama dua minggu. Mesti rasanya luar biasa dan menutup nafsu makan anda. Namun, jika anda bertahan, pasti akan menjadi kebiasaan.

9. Jangan ‘jadikan’diri anda gemuk dengan ‘memenuhi’  permintaan perut.Anda masih boleh mengambil 600 kalori dengan biskut atau bijirin tanpa anda sedari.

10. Jika anda suka mengunyah ketika stres, inilah masanya untuk berubah. Anda harus fokus mencari cara lain yang lebih sihat. Carilah jalan untuk mengatasi stres tanpa melibatkan makanan.

11. Berusahalah untuk mengambil menu  rendah kalori sebelum mengambil hidangan lain. Mulakan dengan salad, sayuran dan sup. Apabila tiba pada makanan utama, sudah tentu perut anda penuh untuk menerima menu tinggi kalori

12. Ambillah sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Sebahagian dari anda suka hobi makan di tengah malam. Ini adalah cara mereka yang makan tidak teratur atau suka mengambil makanan tidak seimbang.

13. Jadikan makanan sebagai hidangan yang mempunyai tujuan iaitu ‘hidup sihat’. Nikmatilah makanan itu dan yakin bahawa makanan itu akan memberikan nutrisi pada badan anda.

14. Ubahlah jadual makan malam anda. Kalau kebiasaan anda suka mengunyah, cubalah kurangkan sedikit demi sedikit. Lama kelamaan ia akan membuatkan tangan dan fikiran andalupa pada snek malam.

15. Jadikan aerobik sebagai aktiviti yang menyenangkan. Ajaklah keluarga untuk bergerak dengan muzik kegemaran anda


16. Tulis di atas sekeping kertas ‘tutup selepas makan malam’. Tampalkan di pintu peti

17. Gosoklah gigi selepas waktu makan malam. Ini untuk mengingatkan anda bahawa waktu makan sudah habis.

18. Bersenamlah dan jadikan ia sebagai kegiatan yang menyihatkan.

19. Makanlah ketika tiba waktu makan. Jangan sesekali melakukan perkara lain pada waktu makan seperti membaca, menonton televisyen atau melayari internet.

20. Sebelum anda membeli belah, berjalanlah sebanyak tiga pusingan di pusat membeli belah tersebut.